EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Tuan Ir Izham Hashim
EXCOSELANGOR

Pertanian antara tumpuan penting Belanjawan Selangor 2021

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada pertanian dalam merangka Belanjawan Selangor 2021 kerana ia membabitkan jaminan bekalan makanan.

EXCO permodenan pertanian berkata Selangor akan meningkatkan lebih banyak potensi bidang itu menerusi penglibatan belia dan penggunaan teknologi moden yang memberi pulangan hasil lumayan.

“Sangat-sangat tepat pada masa dan ketika untuk belia turut sama membangunkan sektor ini. Kita mempunyai rancangan besar yang akan saya kongsikan bila tiba waktunya.

“Kita mesti meletakkan pertanian bukan sahaja dalam mengeluarkan produk yang berkualiti dan mampu dijual dengan baik tetapi mesti juga mengambil kira pulangan yang tinggi,” kata Ir Izham Hashim pada Majlis Anugerah Ikon Agro Selangor 2020 semalam.

Beliau menjelaskan kesan penularan Covid-19 memberikan pengajaran berguna untuk merangsang sektor pertanian dan makanan kerana ia menjadi elemen penting dalam kehidupan.

Izham berkata penglibatan belia juga semakin menggalakkan dan beliau akan memanfaatkan semua potensi pengusaha pertanian sedia ada untuk mengembangkan industri itu pada masa akan datang.


Pengarang :