Foto: Facebook Yayasan Amal Malaysia
RENCANAWAWANCARA

Petugas amal perlu manfaat teknologi, berani depani cabaran global

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Tanggal 5 Sept ini menandakan tarikh sambutan Hari Kerja Amal Antarabangsa seperti yang diamanatkan perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tujuan utama sambutan ini adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan menyediakan platform berupa aktiviti berkaitan amal di seluruh dunia untuk setiap organisasi, badan amal, dermawan dan sukarelawan bagi menjalankan aktiviti mereka sendiri.

Amal, sama seperti konsep kesukarelaan dan kedermawanan, memberikan ikatan sosial yang nyata, di samping menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang inklusif dan lebih berdaya tahan.

Menurut laman web rasmi PBB, 5 Sept dipilih bagi memperingati ulang tahun kematian Ibu Teresa dari Calcutta, India yang pernah menerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1979 bagi meraikan hasil kerja beliau memerangi kemiskinan dan kesusahan, yang juga dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan.

Tentunya, sambutan tahun ini perlu memberi fokus terhadap usaha meningkatkan kesedaran masyarakat bagi kewujudan pelbagai aktiviti amal serta fungsinya mengurangkan kesan buruk akibat krisis kemanusiaan, menambah perkhidmatan awam dalam penjagaan kesihatan, pendidikan, perumahan dan perlindungan kanak-kanak terutama dalam mendepani cabaran global yang wujud pasca pandemik Covid-19.

Cabaran baharu petugas amal

Tidak dinafikan, pandemik Covid-19 yang berlaku di hampir setiap pelosok dunia tentunya memberi impak terhadap kerja amal berikutan sempadan negara yang masih ditutup bagi mengekang penyebaran virus ini.

Penolong Setiausaha Yayasan Amal Malaysia (Amal) Hafizul Husni Alias mengambil contoh di Malaysia, jika sebelum ini prosedur untuk menyampaikan sumbangan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada para penerima tidaklah begitu sukar, namun kini akibat Covid-19, segalanya berubah dengan pengamalan norma baharu tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Contohnya, sebelum ini, apabila diadakan program agihan sumbangan, kita perlu menghimpunkan orang ramai untuk menerima sumbangan. Namun kini dengan SOP baharu, kita perlu mempercepatkan serta mematuhi SOP agihan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan menghadkan waktu penerimaan mengikut giliran,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat sementara Amal di Sungai Merab, baru-baru ini.

Menjelas lanjut, terdapat banyak hikmah tersembunyi dari asbab pandemik dan pengamalan norma baharu ini, antaranya ia membuka ruang baharu kepada setiap NGO khususnya untuk mengkaji kaedah terkini bagi mengutip dan menyampaikan sumbangan kepada penerima, di samping boleh memanfaatkan setiap teknologi yang wujud untuk dijadikan medium pemudah cara.

“Pada zaman Revolusi Perindustrian 4.0 ini, kita seharusnya mengguna pakai teknologi yang ada, contohnya internet dan Data Raya. Ada sebahagian NGO bangunkan sendiri Data Raya mereka dan ia boleh dikongsikan dengan NGO yang lain. Penggunaan telefon bimbit juga dapat memudahkan kita menghubungi mana-mana ketua kampung terbabit untuk dapatkan senarai nama penduduk yang layak menerima sumbangan.

“Di pihak Amal, kita turut bekerjasama dengan pihak pembangun aplikasi BOOST untuk kita kongsi iklan program kita, capaiannya lebih meluas dan orang ramai boleh turut menyalur sumbangan mereka dengan hanya klik pada ikon ‘donate charity’, begitulah mudahnya untuk kita buat kerja amal pada zaman teknologi ini,” katanya.

Lahirkan belia cinta amal

Mengikut data terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, golongan muda belia akan menjadi golongan majoriti negara ini dengan hampir menyamai 50-60 peratus penduduk negara menjelang 2030.

Hafizul Husni menjelaskan, adalah amat wajar pihak NGO melihat perkara ini sebagai satu potensi besar untuk merekrut mereka menjadi sebahagian petugas amal kerana mereka perlu dipersiapkan untuk menjadi generasi pelapis berwibawa pada masa hadapan.

“Jika kita lihat situasi sekarang, rata-ratanya golongan ini merasa muak dengan suasana politik negara yang tidak menentu, jadi ramai dalam kalangan mereka memilih untuk sertai NGO dan pertubuhan amal untuk mereka teruskan momentum berkhidmat kepada masyarakat.

“Amatlah penting untuk kita terus menyuburkan rasa peduli ummah dalam jiwa-jiwa belia kita, dengan itu sistem pendidikan khususnya di peringkat sekolah dan universiti perlu mainkan peranan proaktif dalam menumbuhkan idealisme cintakan kerja amal ini kepada para pelajar,” jelas beliau.

Satukan semangat

Sebenarnya, nilai sambutan Hari Kerja Amal Antarabangsa adalah amat sama dan signifikan dengan sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut 16 Sept ini.

Di manakah titik persamaannya? Hafizul Husni menjelaskan, Hari Kerja Amal Antarabangsa adalah hari untuk menyemarakkan aktiviti beramal tanpa mengira warna kulit atau bangsa, manakala Hari Malaysia pula adalah bagi meraikan rasa kebersamaan walaupun kita hidup dalam kepelbagaian agama dan kaum namun tetap rukun dan harmoni.

“Pada hakikatnya, kedua-dua sambutan ini mempunyai nilai dan semangat yang sama, lebih-lebih lagi Malaysia ini negara yang unik kerana citranya berbilang bangsa dan kaum, jadi dengan menyatukan semangat kedua-dua sambutan ini, dapatlah kita semarakkan lagi kesatuan dan toleransi di antara kita.

“Janganlah kita menyempitkan fikiran yang kita hanya perlu membantu bangsa kita sahaja, walhal nilai manusiawi itu menjangkaui batas bangsa dan agama. Sebenarnya pandemik Covid-19 ini membuka mata kita bahawa kita ini sebenarnya perlu hidup bersatu dan saling bantu-membantu,” katanya.

Aktiviti amal beri impak

Bagi diri penulis pula, sambutan Hari Kerja Amal Antarabangsa ini amat bermakna kerana penulis pernah terlibat sebagai delegasi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menjayakan misi kemanusiaan ke Syria dan Lubnan pada April 2019.

Itulah pengalaman pertama kali penulis menjadi wakil wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bagi melaporkan aktiviti delegasi sepanjang berada di sana selama dua minggu.

Misi delegasi 13 orang itu adalah bagi menyerahkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada pelarian Syria di kem-kem pelarian sekitar Lubnan dan Syria.

Masih segar dalam ingatan, betapa riangnya kanak-kanak dan penghuni di kem pelarian Dataran Beyrouti di wilayah Beqaa, Lubnan ketika pihak delegasi tiba bagi menghulurkan sumbangan makanan asas dan barangan keperluan kepada hampir 35 keluarga di situ.

Ketika delegasi tiba di kem itu kira-kira 8 malam waktu tempatan, cuaca teramat sejuk iaitu sekitar empat darjah Celcius dan penulis sendiri melihat ramai kalangan mereka tidak mempunyai baju sejuk yang sesuai untuk bertahan dengan cuaca ekstrim itu.

Antara aktiviti yang dilakukan ialah memasak hidangan sup panas dan menikmatinya secara beramai-ramai, di samping aktiviti meniup belon bersama kanak-kanak, dan suasana amat meriah walaupun dalam keadaan kem yang agak gelap kerana kekurangan lampu yang menerangi sekitar kem.

Titik tolak positif

Seketika hati penulis tiba-tiba terasa luluh dan hiba melihatkan nasib anak kecil yang menjadi mangsa pelarian akibat perang yang meletus di Syria sejak sembilan tahun yang lepas.

Dalam kembara yang sama, penulis sempat masuk ke Syria antaranya kota Al-Rashidin (terletak satu kilometer dari barat daya Aleppo), kota Hayyan dan Kafar Hamra bagi menyampaikan bantuan kepada hampir 100 keluarga dengan jumlah penerima kira-kira 700 pelarian dan menyaksikan sendiri betapa hancurnya negara itu akibat perang yang meletus.

Pengalaman sebegini membuka mata penulis betapa pentingnya kita menghargai jasa mereka yang sentiasa melakukan kerja amal kerana sanggup mengorbankan segala-galanya bagi membantu insan-insan yang amat memerlukan bantuan dan sokongan.

Pengalaman emas ini juga menjadi satu titik tolak positif buat diri penulis untuk terus membantu mereka yang kesusahan, kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang manusia iaitu sentiasa meringankan beban orang lain yang tersepit dengan masalah.

-BERNAMA


Pengarang :