AGENDASUKANKINI

Piala Thomas: Jangan pandang enteng pasukan lawan

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Skuad negara tidak harus mengambil mudah kemampuan pasukan lawan pada pusingan akhir Piala Thomas di Aarhus, Denmark dari 3 hingga 11 Oktober ini, susulan penarikan diri Taiwan akibat peraturan kuarantin wajib selepas pulang daripada kejohanan itu.

Berikutan keputusan Taiwan itu, bekas pemain beregu negara, Goh V Shem, berkata pasukan lain pada saingan itu masih boleh menjadi ancaman kepada usaha Malaysia melangkah lebih jauh pada kejohanan berprestij dwitahunan itu.

“Taiwan adalah pasukan yang kuat dan walaupun mereka berundur, tidak bermakna kita tidak boleh mengambil mudah pasukan lain yang turut memburu kejayaan dalam kempen kali ini,” kata pemain profesional itu kepada pemberita selepas pelancaran edisi keenam kejohanan badminton Liga Remaja Purple, di sini, semalam.

Media antarabangsa melaporkan Taiwan, yang diundi dalam Kumpulan B bersama China, Australia dan Perancis, mengambil keputusan itu selepas kerajaan negara itu mengenakan peraturan menjalani kuarantin selama 14 hari selepas kembali daripada kejohanan itu.

Justeru, pemegang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berharap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu meningkatkan tatacara operasi piawai (SOP) pada Piala Thomas dan Piala Uber selepas banyak negara telah menyatakan kebimbangan mengenai pandemik Covid-19.

V.Shem and rakannya, Tan Wee Kiong kini memburu tempat dalam skuad negara dengan beregu tama negara, Aaron China-Soh Wooi Yik dijangka mengetuai cabaran negara dalam kategori itu.

Pada edisi 2018 di Bangkok, Malaysia gagal menepati sasaran separuh akhir Piala Thomas selepas tewas 1-3 kepada Indonesia pada saingan suku akhir.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka menamakan skuad Piala Thomas dan Piala Uber selepas kem motivasi selama empat hari bermula di Pulau Tioman, Pahang, semalam.

BWF telah menetapkan 18 Sept ini sebagai tarikh akhir untuk pasukan menghantar senarai penuh pemain.

Dalam saingan Piala Thomas, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi dan juara 13 kali, Indonesia, Belanda dan England. Kumpulan B terdiri daripada China, Australia, Perancis, Kumpulan C – Denmark, India, Jerman, Algeria dan Kumpulan D disertai Jepun, Korea Selatan, Thailand, dan Kanada.

Piala Uber pula terdiri daripada Jepun, Mesir dan Sepanyol dalam Kumpulan A; Kumpulan B (Korea Selatan, Indonesia, Australia, Malaysia; Kumpulan C (Thailand, Denmark, Scotland, Kanada; Kumpulan D (China, India, Perancis, Jerman).

Mengikut format pertandingan, selepas satu pusingan, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan mara ke saingan suku akhir.

-BERNAMA

 


Pengarang :