AGENDANASIONAL

Piala Thomas, Uber tangguh bukan alasan berehat – Rashid Sidek

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Barisan pemain badminton kebangsaan dinasihatkan supaya kekal dalam keadaan bersedia biarpun perancangan musim ini terjejas ekoran penangguhan saingan Piala Thomas dan Uber 2020, menurut legenda badminton perseorangan negara Rashid Sidek.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 di Atlanta itu berkata pemain perlu melihat dari sudut positif mengenai penangguhan kejohanan berprestij yang sepatutnya berlangsung pada 3-11 Oktober di Aarhus, Denmark.

Malah, beliau menegaskan penangguhan itu tidak wajar dijadikan alasan untuk pemain berehat seketika, sebaliknya perlu mengambil kesempatan yang ada memperbaiki ruang kelemahan sekali gus meningkatkan prestasi.

“Mereka (pemain) kena sentiasa kekal positif untuk mempersiapkan diri menghadapi kejohanan mendatang walaupun ia lagi dua, tiga atau empat bulan.

“Persediaan itu penting dalam apa juga situasi sekali pun. Bukan negara kita sahaja terjejas, tetapi semua pasukan mengalami situasi yang sama,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataannya mengesahkan penangguhan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 susulan penularan pandemik Covid-19.

Penangguhan itu dibuat BWF selepas beberapa negara seperti Taiwan, Australia, Thailand, Korea Selatan dan Indonesia menarik diri daripada menyertai kejohanan yang memasuki edisi ke-31.

Rashid menyifatkan keputusan BWF menangguhkan kejohanan itu tepat.

“Banyak negara sudah menarik diri dan kalau lihat dari faktor kesihatan pemain dan pegawai, ada yang masih bimbang serta takut dijangkiti Covid-19. Semua pihak perlu terima keputusan BWF ini,” jelas beliau.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi dan juara 13 kali, Indonesia, selain Belanda dan England pada saingan Piala Thomas, sementara bagi saingan Piala Uber, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia.

– BERNAMA


Pengarang :