Perlawanan antara PJ City FC dan Melaka United di Stadium Hang Jebat Melaka pada 20 September 2020 yang berkesudahan 1 – 1. Foto Facebook PJ CITY FC
AGENDANASIONAL

PJ City FC tekad kekal dalam saingan Liga Super

MELAKA, 21 SEPT: Pemain-pemain pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) perlu bangkit meraih tiga mata penuh dalam baki tiga perlawanan Liga Super, bagi memastikan pasukan itu kekal berada dalam saingan musim depan, kata ketua jurulatihnya K Devan.

Katanya kejayaan mengikat Melaka United 1-1 pada aksi di Stadium Hang Jebat malam tadi, sedikit memberi kelegaan, kerana barisan pemain sedar pasukan dalam situasi kritikal untuk mengelak berada di zon penyingkiran.

“Selepas ini, kita akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), UiTM FC dan PDRM FA, tetapi saya melihat kita masih mempunyai peluang untuk menang sekurang-kurangnya dua perlawanan dan mendapatkan enam mata supaya kita boleh kekal dalam liga.

“Bertemu JDT selepas ini mungkin agak sukar, tetapi kita akan cuba apa yang kita mampu,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan antara Melaka United dan PJ City FC di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi.

Pada aksi itu, PJ City FC memusnahkan harapan tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh menerusi gol saat akhir pemain gantian M Kogileswaran, selepas Melaka United mendahului jaringan melalui Romel Ramirez pada minit ke-72.

Devan berkata pencaturan taktikal pada minit terakhir dengan memasukkan tiga pemain penyerang, berjaya membuahkan hasil dan beliau memuji barisan pemainnya yang menunjukkan sikap positif, walaupun ketinggalan satu gol.

Beliau berkata ketiadaan pemain import dari Guinea Demba Camara, yang tidak dapat kembali ke Malaysia selepas pulang ke negara asal untuk menyelesaikan masalah peribadi, turut memberi kesan kepada skuad kendaliannya.

PJ City FC kini berada di tangga ke-10 kedudukan Liga Super dengan tujuh mata selepas lapan perlawanan.

– BERNAMA


Pengarang :