Pengawal Keselamatan Mohd Haji Ahmad membuat kawalan di pintu pagar Sekolah Kebangsaan Hosba di Jitra, Kedah yang ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran ketika tinjauan pada 3 Ogos 2020 Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPD: Zon Kenanga, Mawar tamat tengah malam ini, zon Melor sambung

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di dua zon di Aman Jaya, Kedah iaitu zon Kenanga dan zon Mawar akan ditamatkan berkuat kuasa tengah malam ini.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD secara pentadbiran bagi zon Melor akan disambung bermula 14 hingga 27 September.

Keputusan menamatkan PKPD secara pentadbiran itu diambil selepas saringan kali kedua pada 9 September lalu menunjukkan tiada lagi kes positif Covid-19 direkodkan di zon Kenanga, manakala hanya satu kes positif direkodkan di zon Mawar.

“… kes positif direkodkan di zon Mawar telah pun dimasukkan ke pusat kuarantin yang ditetapkan. Bagaimanapun, PKPD secara pentadbiran bagi zon Melor akan disambung ekoran 12 kes positif Covid-19 pada saringan kali kedua.

“PKPD secara Pentadbiran di zon Melor ini akan melibatkan 609 rumah dengan anggaran 2,529 penduduk. Semua penduduk yang terlibat diminta untuk memberi kerjasama dan patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia sepanjang tempoh itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan PKPD secara pentadbiran di Aman Jaya, Kedah yang melibatkan tiga zon iaitu zon Kenanga, zon Mawar dan zon Melor dari 28 Ogos sehingga hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :