AGENDA NASIONAL

Polis: Gaduh di tempat kerja faktor utama kes bunuh sejak 2009

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Pertengkaran dan perselisihan faham di tempat kerja dalam kalangan warga asing menjadi motif utama kes bunuh di negara ini sejak 2009 hingga 2019, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata daripada 5,403 kes bunuh yang dicatat sepanjang tempoh itu, 844 kes adalah melibatkan pertengkaran di tempat kerja.

“Sebanyak 484 kes bunuh sepanjang tempoh itu pula berkaitan dengan insiden rompak, samun dan curi. Sebanyak 5,542 mangsa menjadi mangsa bunuh dengan 3,453 mangsa adalah warganegara Malaysia manakala selebihnya melibatkan warga asing,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman.

Beliau berkata pihaknya mengenal pasti kira-kira 50 peratus motif kes bunuh di negara ini, manakala selebihnya tidak dapat dipastikan antaranya kerana mayat yang sudah reput menyukarkan proses bedah siasat.

Huzir berkata sepanjang tempoh itu, seramai 9,398 individu ditahan kerana terbabit dalam kes pembunuhan.

Sementara itu, beliau berkata jenayah indeks di negara ini, yang dikategorikan mengikut jenayah kekerasan dan harta benda, menunjukkan tren penurunan sejak 11 tahun lepas.

Katanya, sebagai perbandingan jumlah keseluruhan kes jenayah kekerasan pada 2009 adalah 42,365 berbanding 16,902 pada 2019, manakala jenayah harta benda pula, jumlah kes dicatatkan pada 2009 ialah 170,313 berbanding 71,760 pada 2019.

Jenayah kekerasan antaranya membabitkan kes rogol bunuh dan samun manakala jenayah harta benda antaranya melibatkan curi dan ragut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 1,444 premis judi telah dipotong bekalan elektrik di seluruh negara dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

-BERNAMA


Pengarang :