AGENDANASIONAL

Polis tahan dalang 69 kes tipu pakej pelancongan

SHAH ALAM, 29 SEPT: Polis percaya dapat menyelesaikan 69 kes penipuan pakej pelancongan membabitkan kerugian RM610,993 dengan penahanan dua pengarah sebuah syarikat dalam satu serbuan di sebuah inap desa di Ampang oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata penahanan kedua-dua suspek berumur 27 dan 26 tahun, yang juga pasangan suami isteri itu dibuat susulan beberapa laporan yang diterima mengenai kegiatan mereka sejak 13 September lepas.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Setakat Jumaat lepas, sebanyak 69 laporan polis diterima berkaitan penipuan pakej pelancongan, dengan 519 individu telah menjadi mangsa melibatkan kerugian RM610,993,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Daripada jumlah laporan polis itu, sebanyak 30 laporan dibuat di Daerah Sungai Buloh dan diikuti dengan Gombak dan Ampang Jaya dengan masing-masing tujuh laporan, Petaling Jaya (10), Subang Jaya (tiga), Shah Alam (enam), Sepang, (dua) dan Kajang (empat).

Muhammad Yazid berkata siasatan ke atas kedua-dua suspek dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terhadap sebarang penawaran pakej pelancongan murah dan sentiasa membuat semakan dengan pengurusan hotel serta pihak berwajib bagi mengesahkan status syarikat atau ejen terlibat.

– BERNAMA


Pengarang :