AGENDANASIONAL

Prestasi dagangan Ogos diunjur menyamai aliran semasa

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: RHB Research menjangkakan prestasi perdagangan Malaysia bagi Ogos akan menyamai aliran semasa.

Malah, ia turut mengunjurkan dalam jangka masa panjang isu lama seperti perang perdagangan Amerika Syarikat-China akan muncul semula ketika negara-negara mengalihkan tumpuan masing-masing.

“Ini boleh menimbulkan risiko berlakunya kelemahan yang ketara di masa akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan.

RHB juga telah menyemak semula unjuran eksport nominal 2020 kepada -6 peratus tahun ke tahun daripada -10 peratus berikutan data eksport yang meningkat sedikit daripada dijangkakan.

Setakat tahun ini, purata pertumbuhan eksport adalah -5.6 peratus manakala semakan semula mengambil kira kemungkinan risiko dagangan meningkat dan sebaliknya.

Pada Julai, kedua-dua eksport dan import menyederhana masing-masing pada 3.1 peratus dan-8.7 peratus manakala imbangan dagangan mencatatkan lebihan sebanyak RM25.1 bilion.

Menurut RHB Research, sebahagian besar eksport telah disokong oleh peningkatan harga minyak sawit yang menambah eksport pertanian selain pertumbuhan eksport produk-produk getah.

– BERNAMA


Pengarang :