Anggota wanita Tentera Laut Diraja Malaysia, Siti Naima Jibri mengundi dengan keadaan kebiasaan baru mengikut panduan Pencegahan Covid-19 pada proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sabah di Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia pada 22 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRN Sabah: 76 peratus keluar undi awal 55 pusat mengundi – SPR

KOTA KINABALU, 22 SEPT: Sebanyak 76 peratus daripada 16,877 pengundi awal terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan itu selepas 55 pusat mengundi awal, yang dibuka serentak bermula jam 8 pagi tadi, ditutup pada 5 petang.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika meninjau proses pengundian awal PRN Sabah di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini memaklumkan seramai 270 pegawai dan anggota polis di negeri ini tidak dapat mengundi awal kerana mereka terpaksa melalui proses kuarantin.

Turut hadir meninjau perjalanan pengundian awal ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh.

Semua pusat pengundian mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan menyediakan cecair pembasmi kuman dan pemeriksaan suhu badan.

Rakyat Sabah akan mengundi Sabtu ini untuk memilih kerajaan negeri yang baharu.

-BERNAMA


Pengarang :