Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohd Sayuthi Bakar menyampaikan cek cura inisiatif PKKPJ kepada wakil JMB. Foto ihsan MBPJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Program kejiranan Petaling Jaya berjaya turunkan kes jenayah

SHAH ALAM, 24 SEPT: Program Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) berjaya menurunkan jumlah kes jenayah sebanyak 5.69 peratus di kawasan terlibat pada 2019.

Statistik yang diperolehi melalui Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS) di kawasan Petaling Jaya menunjukkan sebanyak 3,117 kes direkodkan pada tahun lalu berbanding 3,305 kes pada 2018.

“Statistik ini membuktikan bahawa program PKKPJ ini memberikan impak positif terhadap keselamatan kejiranan di Petaling Jaya,” maklum Unit Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam kenyataan.

MBPJ menjelaskan PKKPJ ditubuhkan untuk mewujudkan suasana kejiranan setempat yang selamat dengan menggalakkan penglibatan Persatuan Penduduk (RA), Rukun Tetangga (RT) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dalam program-program serta peka dengan isu keselamatan menerusi pemberian insentif sebanyak RM3,000.

Menurutnya, sebanyak 150 permohonan diterima tahun ini membabitkan 94 RA, 31 RT dan 25 JMB.

Selain itu, MBPJ turut menyampaikan Geran Komuniti Petaling Jaya Mampan kepada Persatuan Penduduk Seksyen 3, Petaling Jaya, Rukun Tetangga (Kejiranan) SS 25 Taman Mayang, KRT SS 25A Petaling Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Samad.

MBPJ berkata pihaknya menerima 158 permohonan geran berkenaan daripada persatuan penduduk, institusi, sekolah, universiti dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Setakat ini sebanyak empat permohonan telah diluluskan dengan jumlah geran sebanyak RM69,500 telah diberikan kepada organisasi yang layak,” katanya.


Pengarang :