EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han bergambar bersama peniaga pada Program Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid- 19 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang pada 19 Ogos 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Program lesen sementara dilanjut hingga hujung tahun depan

SUBANG JAYA, 11 SEPT: Kerajaan Selangor memutuskan program pemberian lesen sementara kepada penjaja dan peniaga kecil dilanjut sehingga Disember tahun depan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han berkata keputusan tersebut dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas melihat program itu membantu golongan tersebut.

“Bagaimanapun had sah permit ini bergantung PBT (pihak berkuasa tempatan) masing-masing, mengikut kesesuaian semua faktor.

“Ada yang perlu perbaharui lesen setiap bulan, ada tiga bulan dan enam bulan. Ia bergantung kepada syarat,” katanya selepas Program Penyerahan Lesen Sementara Pasca Covid-19 hari ini.

Menurut Sze Han pihaknya berpuas hati dengan inisiatif berkenaan kerana memberi impak baik dan efektif kepada penjaja.

Beliau berkata setakat ini tiada laporan diterima berhubung pelanggaran syarat seperti menyewakan permit kepada pihak ketiga.

“Kita ingatkan peniaga supaya ikut ketetapan dibuat. Paling utama jaga keselamatan, kesihatan dan tidak ‘mengalibabakan’ lesen mereka.”

Pada 16 Ogos lalu, Majlis Bandaraya Shah Alam memberikan permit niaga sementara kepada 180 peniaga kecil dan penjaja yang kemudian diikuti semua PBT lain.


Pengarang :