Ahli Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Selayang Mulia, Batu Caves yang menjayakan projek Peningkatan Landskap Ruang Komunal pada 1 September 2020. Foto Facebook Mohd Sany Hamzan
ADNSELANGOR

Program peningkatan landskap di Selayang Mulia, serlah suasana menarik

SHAH ALAM, 3 SEPT: Projek peningkatan landskap ruang komunal dilaksanakan di Pangsapuri Selayang Mulia, Batu Caves untuk mewujudkan keadaan ceria di kawasan kediaman, kata ahli dewan negeri Taman Templer.

Mohd Sany Hamzan berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dijalankan di sekitar pondok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bermula Selasa lalu berikutan keadaan suram di sepanjang laluan pintu masuk pangsapuri berkenaan.

“Kita bekerjasama dengan 20 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan komuniti setempat untuk menggerakkan projek ini.

“Mereka mengindahkan lagi kawasan pintu masuk pangsapuri dengan menanam pokok, mengecat dinding dan melukis mural bercorak flora yang dijangka siap dalam tempoh tiga hari,” katanya kepada SelangorKini.

Sukarelawan projek Peningkatan Landskap Ruang Komunal mengecat dinding pondok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Selayang Mulia, Batu Caves dengan lukisan mural pada 1 September 2020. Foto Facebook Mohd Sany Hamzan

Beliau berharap projek itu mampu menjadi contoh kepada pangsapuri lain yang terdapat di sekitar Dewan Undangan Negeri Taman Templer selain menggesa masyarakat setempat supaya memelihara kawasan masing-masing.

“Mereka yang tinggal di pangsapuri lain di DUN ini boleh datang dan lihat sendiri selepas kerja pengindahan selesai,” katanya.


Pengarang :