Dr Siti Mariah Mahmud meluangkan masa meninjau hasil produk selepas prapelancaran Tanjung Seri di Isetan KLCC, Kuala Lumpur pada 8 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Program Tanjung Suri berjaya jana pendapatan suri rumah

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Seramai 100 suri rumah yang menyertai program perintis menghasilkan produk di bawah jenama Tanjung Suri berjaya memperoleh pendapatan purata RM1,000 sebulan.

EXCO pemberdayaan wanita Dr Siti Mariah Mahmud berkata peserta diberi tunjuk ajar menghasilkan produk kraf tangan oleh pembimbing berpengalaman sebelum diberi upah bekerja dari rumah.

“Amalan kerja dari rumah dipraktikkan di luar negara dan rakyat di negeri ini wajar mencontohinya terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Suri rumah wajar memanfaatkan ruang serta peluang menjana pendapatan, jika telah menjalani kursus, mereka boleh melakukan kerja di rumah,” katanya selepas merasmikan Pra Pelancaran Tanjung Suri di Isetan KLCC, Kuala Lumpur.

Dr Mariah berkata program pemberdayaan wanita Selangor menerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) berjaya meningkatkan pendapatan golongan tersebut.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan golongan wanita termasuk diberi latihan dalam pelbagai bidang kemahiran berpotensi besar termasuk kerja yang boleh dilakukan di rumah.

“Kita melantik pembimbing untuk memberi inspirasi kepada wanita mendalami pelbagai ilmu seterusnya membina kerjaya sebagai usahawan berjaya,” katanya.


Pengarang :