Selangorkini
Kanak-kanak tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti pembacaan mereka di dalam perpustakaan bergerak disediakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) | REMY ARIFFIN
AGENDA NASIONAL

Pupuk amalan membaca, DBKL wujud 600 kios buku sempena KLWBC2020

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewujudkan 600 kios buku di sekitar ibu negara sempena program Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020) bermula 23 April lepas sehingga 22 April 2021.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata kini terdapat lebih 60 kios buku di kawasan strategik dan lokasi tumpuan di ibu negara termasuk di KLCC, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India yang membabitkan kos keseluruhan RM750,000.

“Setiap kios ini berjumlah antara RM7,000 dan RM12,000 mengikut saiz dan reka bentuk. Oleh itu, orang awam disaran menggunakan perkhidmatan ini secara berhemah dan sematkan budaya membaca walau di mana jua berada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkhidmatan Bas Perpustakaan Bergerak Wangsa Melawati hari ini.

Menurut Nor Hisham, penyediaan kios buku ini bertujuan membentuk masyarakat kota berilmu yang sentiasa membudayakan amalan membaca.

“KLWBC2020 bukanlah satu kemegahan, sebaliknya kita mahu semua orang membaca untuk sepanjang hayat. Itu adalah matlamat kita dan program itu bukan hanya berlangsung di Kuala Lumpur, sebaliknya di seluruh negara,” katanya yang turut mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk menyumbang bahan bacaan demi manfaat bersama.

Sementara itu, Nor Hisham berkata perkhidmatan bas perpustakaan bergerak atas inisiatif Perpustakaan Kuala Lumpur itu dapat memuatkan sehingga 1,500 naskah buku, kini diperluaskan ke penduduk di taman-taman perumahan sekitar ibu kota.

“Kita tidak lagi menunggu komuniti kota pergi ke perpustakaan tetapi, kita bawa buku dan perpustakaan kepada penduduk,” katanya menambah empat unit bas perpustakaan itu akan bergerak ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar Bukit Jalil, Perkasa, Raya Permai dan Sri Johor.

Selain buku, perpustakaan bas yang mula dilaksanakan pada awal 1990-an dengan tumpuan di sekolah itu turut menyediakan kemudahan buku elektronik (e-book), komputer, pangkalan data, talian wi-fi percuma, ruang aktiviti dan khidmat nasihat.

-BERNAMA


Pengarang :