Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Purata gaji, upah bulanan pekerja pada 2019 meningkat 4.4 peratus

PUTRAJAYA, 17 SEPT: Purata gaji dan upah bulanan diterima pekerja di negara ini meningkat daripada RM3,087 pada 2018 kepada RM3,224 atau 4.4 peratus pada 2019, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata data itu diperoleh melalui Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2019 yang diterbitkan pihaknya hari ini.

“Peningkatan gaji dan upah pada 2019 adalah selari dengan prestasi ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan 4.4 peratus pada harga semasa pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Laporan itu membekalkan statistik utama gaji dan upah iaitu penengah dan purata gaji dan upah bulanan mengikut ciri-ciri demografi juga sosioekonomi.

Mengulas lanjut mengenai laporan itu, Mohd Uzir berkata bilangan penerima gaji dan upah di Malaysia adalah seramai 9.2 juta orang pada 2019, meningkat 5.0 peratus daripada 8.8 juta orang pada 2018.

Nilai penengah gaji dan upah bulanan juga mencatatkan peningkatan daripada RM2,308 pada 2018 kepada RM2,442 (peningkatan 5.8 peratus) pada 2019.

“Pada 2019 didapati penengah gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja lelaki adalah RM2,477 dan pekerja perempuan RM2,370 iaitu masing-masing meningkat 5.8 peratus dan 6.4 peratus berbanding 2018.

“Purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki meningkat 4.1 peratus kepada RM3,304 dan pekerja perempuan meningkat 5.0 peratus kepada RM3,108 berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata nilai penengah dan purata gaji juga upah bulanan untuk pekerja berpendidikan tinggi kekal tinggi, iaitu masing-masing bertumbuh pada kadar 6.9 peratus dan 2.0 peratus.

Laporan itu turut menunjukkan penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja di bandar meningkat kepada RM2,565 iaitu pada kadar 6.2 peratus berbanding pekerja di luar bandar meningkat kepada RM1,560 iaitu pada kadar 5.3 peratus.

“Sementara itu, purata gaji dan upah bulanan pula menunjukkan trend sebaliknya iaitu kadar perubahan peratus gaji dan upah di luar bandar lebih tinggi (6.0 peratus) berbanding pekerja di kawasan bandar (4.0 peratus) bagi tahun 2019,” katanya.

Mohd Uzir berkata bagi tahun ini, dijangkakan penularan wabak Covid-19 bakal memberi kesan kepada gaji dan upah yang diterima pekerja terutamanya dalam industri perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal serta industri pengangkutan dan penyimpanan.

Selain itu, industri penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman dan aktiviti kesenian, hiburan dan rekreasi juga bakal terkesan berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tambahnya.

-BERNAMA


Pengarang :