AGENDANASIONAL

RFID diperluas di lebuh raya selatan awal tahun depan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Pelaksanaan sistem kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bakal diperluas ke beberapa plaza tol di laluan menuju ke selatan negara, pada awal tahun depan.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Mohd Shuhaimi Hassan berkata pelaksanaan itu adalah susulan ujian perintis yang dijalankan di sembilan plaza tol di negeri utara iaitu Kedah dan Pulau Pinang pada 22 Julai lepas.

“Kita dalam peringkat percubaan di (negeri) utara, kemudiannya kita akan cuba (sistem RFID) di Johor dan seterusnya kita akan cuba untuk keseluruhan (lebuh raya sistem terbuka dan tertutup di seluruh negara).

“Kita kena uji lagi untuk melihat keberkesanan sistem ini bagi menambah baik sistem serta memudahkan lebih 1.7 juta pengguna lebuh raya,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Kementerian Kerja Raya (KKR) dekat sini, hari ini.

Pelaksanaan RFID merupakan langkah awal ke arah Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti (MLFF) di lebuh raya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol pada masa akan datang, sekali gus dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol.

RFID kini dilaksana dan diuji di 62 plaza tol sistem tol terbuka bermula 1 Jan lepas antaranya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK).

-BERNAMA


Pengarang :