Gimik pelancaran Program inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

RiDE: 100 peserta mula kursus, borang dimuat turun 19,000 kali

SHAH ALAM, 2 SEPT: Seramai 100 peserta Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang menepati kriteria dipilih menjadi kumpulan pertama mengikuti kursus e-panggilan secara berperingkat bermula bulan ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata permohonan program itu masih dibuka dengan borang dimuat turun 19,000 kali setakat semalam.

“Kita berharap kumpulan pertama dapat memulakan kerja sebagai penghantar makanan pada hujung bulan ini, kita galakkan mereka menjana pendapatan dalam sektor ekonomi sampingan yang semakin berkembang sekaligus menambah pendapatan isi rumah,” katanya kepada SelangorKini.

RiDE menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, selain boleh mengikuti kursus e-panggilan bernilai RM200 dan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial berjumlah RM70 setahun.

Antara syarat ditetapkan ialah pemohon perlu mendapatkan pengesahan pemastautin tetap melebihi 10 tahun di Selangor menerusi pejabat wakil rakyat kawasan masing-masing dan menghantar sendiri borang ke pejabat Majlis Sukan Negeri.

Syarat lain, pemohon mesti berumur 17 hingga 30 tahun, mempunyai pendapatan di bawah RM2,000 bagi yang bekerja serta memperoleh lesen motosikal B2 bermula Januari tahun ini.

Mereka yang berminat boleh memohon inisiatif itu menerusi pautan http://msnselangor.gov.my.


Pengarang :