AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.1350/1450 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Ringgit meneruskan penyusutannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini ketika mata wang negara maju itu terus mengukuhkan kedudukannya.

Pada 9 pagi ini, ringgit disebut harga pada 4.1350/1450 berbanding 4.1320/1370 sewaktu ditutup semalam.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata permintaan lebih kukuh terhadap dolar AS itu disebabkan oleh tarikannya sebagai aset selamat di tengah-tengah sentimen ketidaktentuan pasaran dan mudah tunai.

“Di peringkat tempatan pula, memandangkan kepentingan inflasi terhadap dasar Bank Negara Malaysia dan aliran bon, ringgit berkemungkinan didagangkan tinggi menjelang pengumuman mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) pada tengah hari ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, penyusutan yang dialami pasaran minyak berikutan kebimbangan mengenai Covid-19 di Eropah selain kekhuatiran kecil membabitkan kedudukan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dalam Indeks Bon Kerajaan Global (WGBI) FTE Russell, juga terus memberi tekanan terhadap ringgit.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kukuh berbanding mata wang lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0231/0315 daripada 3.0293/0337 pada Selasa dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.9340/9439 daripada 3.9514/9570 sebelum ini.

Ringgit juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2593/2733 daripada 5.2836/2908 dan naik berbanding euro kepada 4.8293/8426 daripada 4.8497/8560, semalam.

– BERNAMA


Pengarang :