AGENDAEKONOMINASIONAL

Ringgit diniaga dalam jajaran kecil, semakan OPR jadi fokus

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Ringgit dijangkakan terus terperangkap dalam jajaran kecil, minggu depan dengan tumpuan diberikan kepada semakan semula kadar dasar semalaman (OPR).

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) harus diberi perhatian dengan teliti terutama mengenai bagaimana bank pusat melihat tempoh pasca-moratorium yang akan berakhir pada akhir bulan ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dijadual berlangsung pada 10 Sept, 2020, dengan sebilangan penganalisis menjangkakan penurunan sebanyak 25 mata dalam OPR.

“Data terbaharu agak bercampur-campur. Kami melihat eksport Julai lebih baik daripada yang dijangkakan apabila ia berkembang 3.1 peratus tetapi Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pada bulan Ogos turun di bawah 50 mata,” katanya kepada Bernama.

Eksport Malaysia meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun pada bulan Julai, walaupun pada kadar yang lebih perlahan daripada 8.0 peratus bulan Jun.

Daripada segi nilai, ia adalah yang kedua tertinggi pada RM92.5 bilion, selepas rekod tertinggi dicatatkan pada tahun 2018, berbanding dengan RM82.8 bilion pada bulan Jun, yang memberi petunjuk bahawa ekonomi secara beransur-ansur telah pulih daripada kemerosotan ekonomi direkodkan pada suku kedua, kata Kenanga Research.

Pada suku kedua, ekonomi menguncup 17.1 peratus daripada pertumbuhan marginal 0.7 peratus yang dicatatkan pada suku pertama.

PMI Malaysia IHS Markit, yang menjadi petunjuk prestasi perkilangan, turun 49.3 pada Ogos daripada 50.0 pada Julai.

IHS Markit berkata pengeluaran pembuatan stabil pada bulan Ogos, tetapi kehilangan beberapa momentum yang dilihat semasa pemulihan awal daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan petunjuk terkini adalah susulan daripada peningkatan pada bulan Jun dan pertumbuhan yang dicatat pada bulan Julai.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit diniagakan mengukuh berbanding dolar AS pada 4.1470/1520 daripada 4.1630/1680 pada minggu sebelumnya.

Ia mencapai paras 4.1400, tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada Selasa lepas selepas cuti selama tiga hari termasuk sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin (31 Ogos).

Ringgit turut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0410/0458 daripada 3.0581/0629 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen kepada 3.9393/9444 berbanding 3.9561/9583.

Unit tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5143/5213 daripada 5.5251/5322 dan naik berbading euro kepada 4.9150/9214 daripada 4.9486/9562 sebelum ini.

-BERNAMA


Pengarang :