Mohd Zawawi Ahmad Mughni (depan, kiri) bersama peserta projek Laman Hijau Strata 2.0 di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera pada 19 September 2020. FOTO MAJLIS PERBANDARAN KLANG
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

RM10,000 bantu Pangsapuri Sri Ayu jaya Laman Hijau Strata 2.0

KLANG, 19 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan geran RM10,000 bagi melaksanakan projek perintis Laman Hijau Strata 2.0 di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera di sini.

EXCO Kerajaan Negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pembiayaan menerusi Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) merangkumi peralatan set fertigasi, biji benih termasuk khidmat nasihat dan bimbingan pertanian.

“Projek ini membantu badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan (MC) menjana hasil pendapatan tambahan selain mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk komuniti strata.

“Kita berharap usaha ini menjadi contoh kepada JMB dan MC lain khususnya skim strata baharu dan yang akan dibina di kawasan berstrata di Klang agar selari dengan dasar Kerajaan Negeri dalam menggalakkan pertanian bandar,” katanya kepada SelangorKini.

Difahamkan, 23 peserta terbabit menjalankan projek penanaman seperti cili bara, pokok kari, sawi, kangkung, serai, bayam dan pegaga di kawasan berkeluasan 4.46 X 8.14 meter persegi.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata projek berkenaan bertujuan menggalakkan komuniti strata untuk menanam dan mengeluarkan hasil tanaman bagi menampung penyenggaraan JMB serta MC.

“Malah, hasil tuaian tanaman boleh dijadikan dalam pelbagai bentuk produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Jadi, saya berterima kasih kepada pihak berkaitan atas bantuan diberikan,” katanya.


Pengarang :