Rozana (dua kiri, hadapan) meninjau keadaan sawah di DUN Permatang
ADNSELANGOR

Rozana bela pesawah, rancang bina hab makanan Jawa

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kebajikan pesawah yang sering mengalami masalah kelewatan bekalan baja dan racun serta penyelenggaraan palong sawah antara keutamaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang.

Rozana Zainal Abidin sentiasa mengikuti rapat masalah itu sejak menang pilihan raya umum 2018, apatah lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diberi jolokan ‘Anjung Utara Selangor’ terkenal dengan pengeluaran padi sebagai sumber makanan dan destinasi tarikan pelancong.

“Saya mendengar sendiri keluhan mereka dan masalah tersebut ditangani dari semasa ke semasa. Kerjasama baik ketua blok, tidak ketinggalan bantuan pelbagai jabatan kerajaan,” katanya kepada SelangorKini baru-baru ini.

Sepanjang penularan Covid-19, beliau menyumbangkan makanan kepada 1,500 keluarga manakala bantuan lain melalui pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin turut dirasai golongan lain termasuk petani.

“Permatang menjadi DUN ketiga tertinggi menerima manfaat Skim Peduli Sihat membabitkan 2,014 penerima manakala 512 golongan ibu menerima kad Kasih Ibu Smart Selangor,” katanya.

Rozana merancang untuk menjadikan DUN itu sebagai hab makanan Jawa dan laut sebagai menjadi sumber ekonomi baharu kerana ia kaya dengan sumber marin serta majoriti masyarakatnya orang Jawa.

“Tidak salah saya menaikkan nama makanan warisan supaya ia tidak ditelan zaman. Saya juga mahu meningkatkan kemampuan wanita untuk bersaing serta menjana pendapatan bagi membantu keluarga masing-masing.

“Antaranya menempatkan produk keluarga wanita seperti pemasaran pes makanan dan pasu simen diperbuat daripada tuala lama ke KoHijrah Mart di Seksyen 32, Shah Alam,” katanya.

Tidak mahu seorang pun anak-anak terutama yang jauh di ladang keciciran dalam pendidikan, Rozana menyediakan perkhidmatan bas berikutan tiada pengangkutan awam ke sana.

“Kami juga menganjurkan program Jom Baca dengan kerjasama beberapa pertubuhan bagi memastikan semua anak-anak lancar membaca dan menguasai bahasa Melayu dengan baik.”

Rozana turut menjayakan lima projek sepanjang tahun lalu iaitu:

– Membaik pulih jambatan Kampung Baru, Pasir Penambang
– Membaiki laluan keluar air di Kampung Bestari Jaya
– Membaiki jalan di Batu 1 1/2 lorong kedai Ratu Kapit, Sungai Terap.
– Membaik pulih bangunan pejabat Majlis Perwakilan Komuniti Kampung Kampung Bukit Belimbing
– Membina papan tanda kampung

“Projek untuk tahun ini hanya dapat dilaksanakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan tamat iaitu membina bilik air di Surau Al-Falah, membaiki Dewan Kampung Raja Musa dan baik pulih Balai MPKK Kampung Parit Serong,” katanya.


Pengarang :