AGENDANASIONAL

Sabah dahului 73 kes Covid-19, diikuti Selangor 15

SHAH ALAM, 28 SEPT: Terdapat 101 jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia hari ini yang mana Sabah mendahului dengan 73 kes diikuti Selangor dengan 15 kes menjadikan jumlah keseluruhan 11,135, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan di Sabah melibatkan 70 warganegara dan tiga bukan warganegara, sementara di Selangor melibatkan 13 warganegara dan dua bukan warganegara.

“Pertambahan kes baharu di Sabah adalah dari tiga kluster sedia ada sebanyak 68 kes dan lima kes dari kluster baharu melibatkan rujukan hospital, kontak rapat, petugas hospital dan saringan komuniti.

“Manakala di Selangor melibatkan saringan pulang dari kawasan berisiko sebanyak 9 kes, saringan kontak rapat (satu), kluster Jalan Apas (satu), saringan pulang dari negara asal (satu) dan kes tiba dari Nigeria (satu). Terdapat satu kluster baru dengan satu kes,” katanya dalam kenyataan.

Selain dua negeri terbabit, beliau menambah antara negeri lain mencatatkan kes positif ialah Johor dengan dua kes, Melaka (satu) dan Kuala Lumpur (satu).

Negeri lain termasuk Kelantan (satu), Perlis (satu), Putrajaya (satu), Pulau Pinang (satu), Perak (satu), Kedah (satu) dan Sarawak (empat).

 

 


Pengarang :