BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sambutan luar jangka, pencarian Ikon Agro Selangor dilanjut

SHAH ALAM, 2 SEPT: Tarikh tutup pencarian Ikon Agro Selangor yang sepatutnya berakhir semalam dilanjutkan sehingga Isnin depan selepas menerima sambutan menggalakkan.

EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim berkata lebih 30 penyertaan diterima sejak permohonan dibuka pada 15 Julai lalu melibatkan kategori penternakan, tanaman dan industri asas tani serta akuakultur.

“Jawatankuasa pertandingan melanjutkan tarikh tutup sehingga 7 September selepas menerima permintaan peserta yang memerlukan sedikit masa untuk menyiapkan rakaman video pendek dan beberapa perkara lain bagi melengkapkan syarat penyertaan.

“Kita mahu memastikan ikon agro yang dipilih benar-benar berkualiti dan bilangan penyertaan dijangka terus meningkat sepanjang minggu ini secara tidak langsung menjadikan persaingan merebut ikon agro lebih sengit,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Izham berkata 20 peserta disenarai pendek untuk menjalani proses penilaian selama seminggu sebelum kelompok 10 terbaik diumumkan pada tarikh yang dimaklumkan kelak.

“Setiap ikon menerima hadiah kelengkapan pertanian dan wang tunai RM10,000 selain berperanan sebagai pembimbing golongan muda sekali gus melahirkan lebih ramai petani moden,” katanya.

Pemilihan ikon dibahagi kepada lima kategori iaitu penternakan, akuakultur, tanaman, industri asas tani dan agro pelancongan sebagai usaha menjadikan Selangor pusat bekalan makanan.

Semua 10 Ikon Agro Selangor dipantau dan diaudit ahli jawatankuasa pertanian negeri selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.


Pengarang :