Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memberi rumusan Sindiket 1E : Industri Kreatif dan ucapan penutup ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sasaran negeri pintar 2025 perlu seiring pembangunan berdaya huni

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor tidak berhasrat menjadi negeri pintar menjelang 2025 hanya sekadar terlukis di kertas atau kekal dengan angka pertumbuhan ekonomi besar semata-mata.

Sebaliknya Dato’ Menteri Besar berkata matlamat itu perlu dicapai dengan negeri ini kekal berdaya huni dan berdaya saing serta mampan demi kesejahteraan rakyat.

“Banyak perkara terperinci daripada industri kreatif, kesihatan, bandar yang selamat dan pertanian akan kita gariskan serta laksanakan (dalam belanjawan). Namun hala tujunya harus menjadi pertimbangan kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau berkata Selangor dibanggakan dengan penjanaan ekonomi rancak sejak 1980an menerusi perkembangan pelbagai industri dan menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun katanya, kerangka pembangunan negeri kini perlu memastikan kehidupan rakyat yang sama baik dengan kemajuan dicapai termasuk dalam menangani isu kesihatan seperti Covid-19.

“Dapatan lain daripada sesi dialog belanjawan seperti pertanian, pelancongan, keusahawanan dan kebajikan juga perlu diberikan perhatian supaya pembangunan dirancang dinikmati semua,” katanya.


Pengarang :