AGENDASUKANKINI

Sathia: Red Giants perlu perbaiki jentera serangan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Selangor perlu memantapkan jentera serangan dalam sesi latihan selepas sekadar menghasilkan tiga gol sejak aksi CIMB Liga Super disambung 29 Ogos.

Jurulatihnya B Sathianathan berkata pasukannya kurang bernasib baik selepas mencatatkan keputusan seri keempat musim ini walaupun sebelum itu menang 1-2 ke atas Sabah.

“Saya rasa Selangor kurang bernasib baik kerana kita ada banyak peluang tetapi tidak dapat menghasilkan jaringan.

“Bagaimanapun saya mempercayai keupayaan pemain 100 peratus dan kita akan memberikan tumpuan kepada perlawanan seterusnya,” katanya ketika dihubungi.

Red Giants sekali lagi diikat di laman sendiri selepas sekadar seri 1-1 ketika menentang Melaka United di Stadium UiTM Shah Alam semalam.

Bagaimanapun tuan rumah dikejutkan dengan gol pembukaan pasukan pelawat pada minit ke-39 menerusi Uche Agba sebelum Sandro Da Silva menyamakan kedudukan 1-1 seminit kemudian.

Selangor mengakhiri permainan dengan 10 pemain selepas Brendan Gan dilayangkan kad merah.

Selepas tujuh permainan Red Giants menduduki tempat keenam dengan mengumpul 10 mata.


Pengarang :