Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail (tengah) mencuba menganyam barangan kraft suku kaum Mahmeri ketika Pameran Perdagangan Antarabangsa (WHOLE 2020) di Pusat Arena SPICE, Pulau Pinang pada 10 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMA

Selangor cadang wujud pusat kraftangan

BAYAN LEPAS, 11 SEPT: Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan pusat kraftangan sebagai strategi mengetengah dan memasarkan pelbagai produk usahawan.

EXCO Usahawan Rodziah Ismail berkata pihaknya akan mengadakan sesi pendengaran awam dengan semua usahawan perusahaan tersebut sebelum memutuskan tindakan lanjut.

“Melalui sesi pendengaran ini, semua usahawan kraftangan akan dikumpulkan dan mendengar sendiri masalah mengapa selama ini produk mereka tidak boleh diketengahkan.

“Sekiranya ada isu berbangkit, kita akan lihat dan teliti satu per satu kerana akhirnya kita mahu Selangor ada produk sendiri yang boleh dibanggakan seperti negeri-negeri lain,” katanya pada Pameran dan Persidangan Dunia, Hospitaliti, Gaya Hidup serta Hiburan di Pulau Pinang semalam.

Beliau menambah pihaknya juga akan membawa 20 usahawan terbabit ke Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu pada 20 September ini bagi melihat pengusaha makanan dan kraftangan negeri itu.

“Terengganu adalah lokasi terbaik untuk kita mempelajari bagaimana usahawan di sana memelihara kraftangan, lebih-lebih lagi Selangor ketika ini ke arah mengangkat produk usahawan kraftangan.

“Ini kerana bidang perniagaan bukan semata-mata pada makanan, perkhidmatan mahupun bahan mentah. Apabila kita segmenkan usahawan kraftangan ini maka ia akan jadi lebih tersusun seterusnya memudahkan promosi produk.”


Pengarang :