Dr. Siti Mariah Mahmud memberi rumusan Sindiket 1B : Kesihatan Awam Dan Bandar Berdaya Huni ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor dicadang tubuh Yayasan Kesihatan, Tabung Dana Kesihatan Negeri

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor dicadang menubuhkan Yayasan Kesihatan dan Tabung Dana Kesihatan Negeri bagi meningkatkan kualiti kesihatan serta menampung kos rawatan rakyat.

EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata saranan tersebut bagi meringankan beban kewangan Kerajaan Negeri yang memperuntukkan RM42.5 juta melalui Skim Peduli Sihat untuk memastikan isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan mendapat rawatan asas.

“Skim Peduli Sihat memberi manfaat kepada seramai 85,000 orang kerana kita mahu pastikan rakyat menikmati kualiti kehidupan lebih baik, ini hasrat kita untuk pastikan dasar kesihatan menyeluruh.

“Namun bagi menampung kos ini saya cadangkan beberapa perkara untuk dipertimbangkan, kita boleh jalin kerjasama dengan sektor korporat dan swasta,” katanya ketika merumus Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan pada Disember 2016 membiayai rawatan kesihatan asas kepada 250,000 keluarga dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta untuk membekalkan topeng muka, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan manakala RM3 juta untuk perbelanjaan stesen kuarantin yang menempatkan individu dalam pengawasan.


Pengarang :