Ketua Penolong Pengarah Plan Malaysia@Selangor, Dr Noraziah Abd Aziz bercakap ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Selangor miliki kemudahan, laksana program ke arah negeri berdaya huni

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor memiliki kemudahan lengkap dan terkini untuk menjadi negeri serantau yang produktif serta berdaya huni, kata ketua penolong pengarah Plan Malaysia@Selangor.

Dr Noraziah Abdul Aziz berkata keyakinan tersebut disokong pelaksanaan Gugusan Ekonomi Selangor bagi memastikannya terus melangkah ke depan serta seimbang dalam bidang ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Gugusan ekonomi ini merangkumi industri teknologi tinggi, aeroangkasa, automotif, maritim, perkhidmatan, ekopelancongan, akuakultur, pertanian ekonomi bandar dan pendidikan.

“Malah Inisiatif Peduli Rakyat turut dijalankan dengan menekankan aspek kesihatan rakyat yang merupakan ciri penting ke arah bandar berdaya huni,” katanya ketika menjadi panelis Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap semua pihak bekerjasama untuk mengatasi isu perumahan kos rendah yang berkepadatan tinggi serta tidak selesa.

“Jika dilihat rumah berkaitan memiliki kemudahan usang, reka bentuk lama, tidak kondusif, kurang penyelenggaran dan pelbagai masalah yang mengganggu kehidupan penghuninya.

“Isu mengenai perumahan ini dapat dilihat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila penghuninya terpaksa duduk di rumah dalam keadaan persekitaran tidak selesa, jadi bagaimana hendak bekerja dari rumah atau anak hendak belajar,” katanya.

Beliau berkata negeri berdaya huni perlu mempunyai hubungan baik antara manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekeliling.

“Jadi adalah penting kerjasama semua pihak berusaha meningkatkan akses rakyat kepada perumahan mampu milik yang berkualiti,” katanya.


Pengarang :