Rodziah Ismail (lima, kanan) dan Exco Pulau Pinang Dato’ Abdul Halim Hussain (enam, kiri) bersama kakitangan agensi kerajaan bergambar bersama ketika kunjungan hormat EXCO Kerajaan Selangor ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang di George Town pada 11 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor-Pulau Pinang kongsi pandangan, kukuh program usahawan

GEORGETOWN, 11 SEPT: Selangor dan Pulau Pinang berkongsi pengalaman serta pandangan ke arah menjadikan kedua-dua negeri sebagai peneraju dalam program pembangunan usahawan.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata arus digital masa kini memudahkan usaha tersebut bagi meningkatkan potensi peniaga di negeri masing-masing.

“Kita lihat persamaan dan kelebihan dimiliki kedua-dua negeri ini yang boleh ditambah nilai. Kita (Selangor) mempunyai pengalaman daripada sudut polisi dan boleh dilaksanakan di Pulau Pinang.

“Pada masa sama, kita juga boleh belajar beberapa perkara yang tiada di Selangor dan perlu diusahakan melalui kerjasama ini demi memberi kepuasan serta memenuhi keperluan rakyat khususnya usahawan,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Exco Perdagangan Antarabangsa, Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna & Pembangunan Usahawan Pulau Pinang Dato’ Abdul Halim Hussain di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Rodziah mengetuai delegasi Kerajaan Negeri ke Pulau Pinang bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri dalam siri lawatan kerja sempena Pameran dan Persidangan Dunia, Hospitaliti, Gaya Hidup serta Hiburan pada 11 dan 12 September.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri berhasrat memperluas inisiatif Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) ke Pulau Pinang bagi menggalakkan kaedah penjualan secara dalam talian.

“Walaupun fokus kita lebih kepada usahawan di Selangor namun kemungkinan besar (inisiatif) ini boleh ditawar dan dimanfaatkan (usahawan) di Pulau Pinang.

“Usahawan di Selangor misalnya boleh mengeksport produk mereka ke Pulau Pinang dan Pulau Pinang pula membawa keluar produk mereka ke Selangor dan sebaliknya,” katanya.


Pengarang :