AGENDANASIONAL

Selangor sambut baik pinda tarikh Sukma kerana 12 atlet duduki STPM

SHAH ALAM, 21 SEPT: Selangor menyambut baik keputusan meminda tarikh Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 ke April tahun depan selepas tarikh asal bertembung dengan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata keputusan tersebut melegakan pihaknya kerana seramai 12 atlet negeri ini bakal menduduki peperiksaan tersebut.

“Selain atlet terlibat peperiksaan STPM, seramai 114 atlet Sukma Selangor juga bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan pada awal tahun depan.

“MSN berharap atlet yang terlibat dengan peperiksaan utama dapat membahagi masa sebaiknya antara komitmen untuk pelajaran dan sukan kerana menjadi hasrat kita supaya atlet berjaya dalam kedua-dua bidang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sabtu lalu, Kementerian Belia dan Sukan memutuskan penganjuran Sukma Johor 2020 yang sebelum ini dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan susulan penularan covid-19 ditunda ke 2 hingga 10 April. Para Sukma 2020 yang diputuskan pada 5 hingga 10 April pula diawalkan ke 8 hingga 13 Mac.

Pada 28 Jun, Kementerian Pendidikan mengumumkan peperiksaan STPM 2020 semester 3 bakal berlangsung pada 1 hingga 9 Mac 2021 manakala peperiksaan semester satu STPM 2021 dipinda ke 22 hingga 25 Februari 2021. Peperiksaan SPM pula dipinda kepada 6 Januari hingga 9 Februari tahun depan.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.


Pengarang :