Rodziah Ismail menjawab pertanyaan media selepas menyerahkan pelitup muka kepada Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) bersama Kesatuan Penghulu Penggawa Semalaysia Negeri Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 14 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor tanggung penuh elaun ketua kampung tradisi

SHAH ALAM, 14 SEPT: Elaun bulanan ketua kampung tradisi ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri selepas Putrajaya tidak lagi mengiktiraf fungsi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

EXCO Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Rodziah Ismail berkata Kerajaan Negeri sebelum ini membayar elaun berjumlah RM500 manakala baki RM700 dibayar kerajaan pusat.

“Organisasi MPKK diguna pakai secara rasmi sejak 27 Jun 2018 dan Selangor hanya mengiktiraf MPKK sahaja. Kita menolak perubahan nama kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Mesyuarat EXCO bersetuju supaya kita membayar sepenuhnya elaun ketua kampung walaupun langkah ini memberi beban kewangan kepada Kerajaan Negeri,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Kesatuan Penghulu Negeri Selangor di Hotel Concorde hari ini.

Pada 10 Julai, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata MPKK dijenamakan semula sebagai JPKK manakala Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan.


Pengarang :