Hee Loy Sian berucap ketika perasmian Program Kesedaran Selamatkan Lapisan Ozon sempena Hari Ozon Sedunia 2020 peringkat Negeri di Kolej Profesional Mara, Beranang pada 22 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor teliti maklum balas nyahwarta hutan Kuala Langat Utara

KUALA LANGAT, 28 SEPT: Kerajaan Negeri menerima pelbagai maklum balas berhubung cadangan menyahwarta sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seperti diumumkan pada Februari lalu.

EXCO alam sekitar berkata maklum balas itu diterima hingga Mac yang meliputi tiga isu utama iaitu alam sekitar, kesan biogeografi flora fauna dan sumber sosioekonomi.

Menurutnya, sebanyak 11,953 maklum balas diterima melalui e-mel dan 3,895 lagi daripada orang perseorangan. Sementara 29,443 sokongan diberikan melalui petisyen bantahan dalam talian di portal Change.org.

“Selain orang perseorangan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Institut Arkitek Landskap Malaysia dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia turut mengemukakan bantahan.

“Sementara peringkat komuniti pula melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Orang Asli Bukit Cheeding, MPKK Orang Asli Busut Baru, MPKK Kampung Jenjarom dan Persatuan Penduduk Saujana Putra,” kata Hee Loy Sian.

Beliau ditemui ketika Sesi Pendengaran Awam Cadangan Pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat, Mukim Tanjung Dua Belas di Amverton Resort Pulau Carey, di sini hari ini.

Katanya, sesi itu berlangsung dua hari susulan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan hari pertama melibatkan bantahan individu dan hari kedua pula badan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan serta agensi swasta.

“Orang ramai perlu tahu, sesi pendengaran awam ini bukan tempat kita membuat keputusan sebaliknya medan untuk kita mendengar pandangan luar. Kesemua bantahan dikemukakan akan diperhalusi sehingga ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada 5 Februari lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan untuk membangunkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara bagi tujuan pembangunan bercampur seperti perumahan.

Hutan simpan itu diwartakan pada 13 Mei 1927 dengan keluasan asal 7,247 hektar tetapi kini keluasannya tinggal 957.6 hektar dan dikelilingi pelbagai pembangunan.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntukkan dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

 


Pengarang :