Penghantar barangan dalam talian aplikasi “Seldec Rider” mengangkat beg barangan mereka selepas selesai sesi sidang media Pelancaran Web Portal SELDEC (Selangor Digital e-Supply Chain) & Sistem Aplikasi “Seldec Rider” di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor yakin 3,000 sertai RiDE sehingga akhir Okt

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kerajaan Negeri yakin mampu mengumpul 3,000 peserta Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) sehingga 31 Oktober ini, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata ia susulan sambutan menggalakkan daripada golongan belia di negeri ini yang mahu menjana pendapatan.

“Justeru, saya mempelawa mereka yang berminat untuk membuat permohonan selagi kita masih ada peruntukan untuk menjayakan program ini.

“Kita berharap supaya mereka (belia) tidak mensia-siakan peluang yang disediakan oleh Kerajaan Selangor ini bagi membantu meningkatkan ekonomi masing-masing,” katanya kepada SelangorKini.

RiDE menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, selain boleh mengikuti kursus e-panggilan bernilai RM200 dan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial berjumlah RM70 setahun.

Antara syarat ditetapkan ialah pemohon perlu mendapatkan pengesahan pemastautin tetap melebihi 10 tahun di Selangor menerusi pejabat wakil rakyat kawasan masing-masing dan menghantar sendiri borang ke pejabat Majlis Sukan Negeri.

Syarat lain, pemohon mesti berumur 17 hingga 30 tahun, mempunyai pendapatan di bawah RM2,000 bagi yang bekerja serta memperoleh lesen motosikal B2 bermula Januari tahun ini.

Mereka yang berminat boleh memohon inisiatif itu menerusi pautan http://msnselangor.gov.my.


Pengarang :