Ketua Pegawai Eksekutif Selgate, Noor Hisham Mohd Ghouth bercakap ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Selgate sasar golongan M40 dan B40 dapat rawatan berkualiti, berpatutan

SHAH ALAM, 7 SEPT: Pelopor sektor kesihatan Selgate Corporation (Selgate) menyasarkan golongan pertengahan (M40) dan berpendapatan rendah (B40) untuk mendapat rawatan berkualiti pada harga berpatutan, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Noor Hisham Mohd Ghouth berkata selaku anak syarikat Kerajaan Negeri pihaknya memberi tumpuan meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada rakyat selaras usaha mewujudkan bandar berdaya huni.

“Selgate memiliki 16 klinik serta lebih 1,500 klinik yang menjalin kerjasama. Selain itu tujuh Hospital Selgate sedang dibina di Rawang yang bakal siap tahun depan diikuti Sepang (2022) dan Setia Alam (2023).

“Hospital turut dibina di Kuala Selangor dan Ulu Tiram Johor (2024) serta Mont Kiara Kuala Lumpur dan Shah Alam (2025),” katanya ketika menjadi panel Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau berkata kelebihan hospital dan klinik Selgate adalah rakyat Selangor boleh menggunakan kad Skim Peduli Sihat ketika berkunjung ke pusat kesihatan berkenan.

“Selangor menjadi negeri pertama yang membolehkan penduduknya memilih rawatan perubatan terbaik dan harga lebih rendah berbanding hospital swasta lain.

“Sasaran Selgate adalah menjadi peneroka bidang perubatan dan kesihatan menerusi penggabungan dan pengambil alihan hospital sedia ada, pembangunan hospital baharu, usaha sama serta pembelian ekuiti saham,” katanya.


Pengarang :