BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Semai perpaduan, rancak pembangunan

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT, pada hari yang berbahagia ini, saya dapat bersama-sama, dijemput Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk melancarkan dan merasmikan sesi maklum balas rakyat draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 yang dilancarkan pada peringkat negeri. Seterusnya ia akan diadakan di seluruh daerah, di sembilan lokaliti yang bakal ditetapkan Kerajaan Negeri dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Saya berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada JPNIN yang berusaha untuk meneruskan usaha memantapkan perpaduan dan muafakat masyarakat berbilang kaum dalam negara kita. Seterusnya, ia menjadi salah satu inti dan resipi penting kepada kejayaan negara pada masa hadapan.

Bulan Ogos, kita dipenuhi dengan kegiatan yang bertepatan untuk sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang kita cintai untuk kali ke-63. Dalam tempoh itu, kita melalui beberapa episod mencabar dan mencuba keupayaan kita dalam mengekalkan perpaduan antara satu sama lain selain meneruskan usaha pembangunan dan kesepakatan yang difikirkan oleh ‘forefathers’ ataupun pendiri negara kita.

Justeru negara ini pernah berdepan dengan rintangan awal sejak kemerdekaan, dengan sinisisme dalam kalangan negeri-negeri sekitar, ataupun jangkaan negara-negara luar ketika itu. Yang menjangka kita tidak akan mampu berdepan dengan kesenjangan antara kaum, pengenalan ekonomi mengikut kaum dan pelbagai ramalan merebaknya semangat kedaerahan yang melampau dan akhirnya memisahkan dan mencerai-beraikan negara yang tertubuh pada 1957.

Merungkai perbalahan

Kemudian, kita berdepan isu perbalahan dan perseteruan kaum yang memuncak sehingga peristiwa berdarah 13 Mei dicatatkan dalam rekod buruk negara. Akhirnya ia memisahkan kita dan menimbulkan beberapa dasar-dasar baru untuk menangani perkara tersebut.

Ini termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) mahupun Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKN) di mana usaha yang telah direncanakan ketika itu, tidak lain dan tidak bukan, mengurangkan jarak antara kaum dan mengurangkan penguasaan ekonomi berdasarkan kaum tertentu yang menjadi salah satu punca perbalahan dan keirian dengan kemuncaknya pada 1969.

Kemudian, negara bergerak lagi ke hadapan selepas tamatnya DEB, kita memperkenalkan DPN dengan Wawasan 2020 menjadi elemen penting. Ia diletakkan sebagai kayu ukur dan keupayaan kita untuk mengekalkan perpaduan di samping ingin membawa negara ke arah dunia teknologi tinggi, membawa dunia pendigitalan yang kita nikmati sekarang ini.

Cyberjaya

Kelahiran Cyberjaya dan beberapa elemen perpaduan ketika itu, yang ingin menolak negara daripada hanya mengamal ekonomi berasaskan produktiviti dan mengekalkan produktiviti tinggi berdasarkan teknologi tinggi.

Salah satu elemen penting dalam DPN ataupun Wawasan 2020 dalam sembilan cabaran yang diketengahkan ialah mewujudkan sebuah bangsa yang kita namakan sebagai bangsa Malaysia yang bersatu-padu.

Justeru, setelah kita melalui beberapa episod, mengenalkan DEB, DPN dan Wawasan 2020, kita ingin melonjak ke hadapan dalam tempoh 15 ke 20 tahun. Sudah pasti kita harus menilai dan meneliti semula episod, kejadian dan perkembangan terkini.

Bagaimana setiap isu dan persoalan yang ditimbulkan daripada setiap zaman dapat diketengahkan, ditangani dan dirumuskan untuk kita lalui serta depani cabaran mendatang.

Sepakat depani krisis

Negara kita sememangnya terkenal mampu muafakat dan sepakat apabila berlakunya krisis. Apabila timbul isu perbalahan kaum 13 Mei, sebagai contoh, segenap kelompok dan penduduk dalam negara pada ketika itu berfikir bagaimana untuk menangani perkara itu. Dan beberapa dasar dan perkara-perkara baru yang dapat kita lalui bersama.

Episod 1998, sedikit sebanyak memisahkan kita atas perbezaan ekonomi dan politik yang mencengkam. Namun kerana adanya kesepakatan, fikiran dan fikrah yang jelas untuk kemajuan dan pembangunan negara, kita berjaya menghadapinya bersama-sama.

Kali ini, dalam episod terbaru, kita diuji dengan pandemik Covid-19 yang sedikit sebanyak mencuba bagaimana semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum di negara kita dapat ditangani.

Alhamdulillah, pada saat kita berdepan ‘krisis ini’ kita dapat menanganinya, kita dapat berdepannya dan kembali ke landasan ataupun dalam istilahnya ‘we tow to the line’, kita kembali kepada landasan yang jelas – bagaimana perpaduan dipupuk dan muafakat dapat dibentuk yang akhirnya kita berjaya melepasi cabaran tersebut.

Namun begitu, dalam pada masa sama, kita tidak boleh alpa kerana negara kita merupakan negara berbilang kaum dan multi-etnik. Timbul beberapa persoalan berterusan antara satu sama lain.

Tumpuan ramai

Apatah lagi pada hari ini kita bicara tentang Selangor, sebuah negeri, sebuah kawasan dan lokaliti yang dianggap sebagai ‘melting pot’ atau menjadi tempat tumpuan ramai masyarakat Melayu Bumiputera, ras dan etniknya cukup pelbagai.

Sama ada mereka kelompok Malaysia Timur daripada Sabah dan Sarawak yang memilih Selangor sebagai pusat pemberdayaan ekonomi ataupun ruang mencari ekonomi dan pendidikan serta pelajaran tinggi mereka. Atau daripada ras-ras sedia ada di Selangor – Jawa, Banjar, Bugis, Mandailing dan pelbagai kelompok lain, tidak ketinggalan kelompok Orang Asli ataupun Orang Asal mahupun daripada negeri lain seluruh Malaysia.

Daripada Sabah sampai Sarawak, daripada Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, mereka memilih Selangor sebagai salah satu pusat kehidupan mereka kerana di sini pusat tumpuan ekonomi selepas pusat perkembangan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terletak berdekatan dan menjadi jiran kepada negeri yang kita cintai.

Sudah pasti cabarannya bukan cuma satu dan bukan ‘single issue’ tetapi bagaimana kita menangani perkara ini selama ini harus dijadikan pengajaran dan melihat ada isu-isu baru yang harus ditangani dengan jernih. Kita harus melihat persoalan semasa dan persoalan media sekarang yang sudah semakin terbuka.

*Sedutan ucapan bahagian pertama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam pada 27 Ogos

 

 

 


Pengarang :