Sesi latihan pemain Selangor di Pusat Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada 23 Oktober 2020. Foto Facebook FA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Sesi latihan positif, Red Giants tekad pamer kebangkitan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Sesi latihan pertama skuad Red Giants kendalian Michael Feichtenbeiner berlangsung baik di Pusat Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di sini bermula semalam.

Pemangku ketua jurulatih itu berkata pemainnya mempamerkan kesungguhan ketika latihan dan yakin pasukan akan kembali beraksi lebih baik selepas ini.

“Selangor mengharungi minggu yang mengecewakan selepas tewas 1 – 6 kepada Johor Darul Ta’zim minggu lalu tetapi itu adalah lumrah dalam bola sepak.

“Kita fokus ke hadapan dan pemain juga berada dalam suasana yang tenang sepanjang latihan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata skuad Merah Kuning mahu meraih kemenangan ketika menentang UiTM FC dalam aksi CIMB Liga Super Sabtu ini dan pemainnya akan bangkit untuk memberikan persembahan terbaik.

Feichtenbeiner yang juga Pengarah Taktikal mengambil alih tugas membimbing pasukan sehingga ketua jurulatih baharu dilantik selepas FAS menamatkan kontak B Sathianathan pada 21 September lalu.

Selangor setakat ini menduduki tangga kelapan dengan mengumpul 10 mata hasil dua kemenangan, empat seri dan dua kalah selepas lapan perlawanan.


Pengarang :