Orang ramai memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan Covid-19 di Singapura pada 10 Mac 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Singapura catat 42 kes baharu, jumlah dijangkiti kini 57,357

SINGAPURA, 12 SEPT: Singapura melaporkan 42 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan kepada 57,357.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat empat kes dalam komuniti iaitu satu Penduduk Tetap Singapura dan tiga pemegang Pas Kerja,” menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kementerian itu memaklumkan bahawa terdapat juga 10 kes import, yang semuanya telah dikenakan Notis Duduk Di Rumah sebaik sahaja tiba di Singapura.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan pada lewat semalam, MOH mengklasifikasikan 973 kes yang dilaporkan sebagai diimport, 2,233 sebagai kes komuniti dan 54,109 melibatkan penghuni asrama.

Menurut MOH, kes import dikeluarkan daripada jumlah keseluruhan kes semalam kerana kes tersebut telah menunjukkan rekod perubatan yang menyatakan dia sebelumnya telah sembuh daripada jangkitan Covid-19.

Sebanyak 56,607 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan 49 kes disahkan masih berada di hospital tetapi tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 632 pesakit yang mengalami gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif untuk Covid-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

Kluster baharu dikenal pasti semalam di SCM Tuas Lodge, 80 Tuas South Boulevard.

– BERNAMA


Pengarang :