EXCO Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Kim (barisan hadapan, lima dari kiri) turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris (barisan hadapan, lima dari kanan) bergambar bersama juri dan peserta ketika The Selangor Accelerator Programme (SAP) Demo Day di Hotel Pullman Bangsar, Kuala Lumpur pada 5 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEKONOMIEXCOSELANGOR

Sitec latih 575 usahawan, nilai dagangan RM41 juta – EXCO

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) berjaya melatih kira-kira 575 usahawan mikro serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menjalankan perniagaan dalam talian untuk tempoh lima tahun.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata ia melibatkan jumlah dagangan kasar RM41 juta dengan menyediakan banyak peluang pekerjaan.

“Perkembangan ini sekali gus menyaksikan sebanyak 60 syarikat baharu ditubuhkan selain menyediakan lebih 6,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

“Ini juga membuktikan industri e-dagang semakin berkembang bukan hanya di dalam negara malah ke peringkat antarabangsa hasil daripada jumlah dagangan ini,” kata Dato’ Teng Chang Khim selepas melancarkan Selangor Accelerator Program (SAP) Demo Day 2020 di Pullman Bangsar di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Eksekutif Sitec Yong Kai Ping.

Chang Khim berkata beliau yakin dengan keupayaan usahawan mikro dan IKS baharu khususnya yang dilatih menerusi program SAP untuk mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Ini kerana, katanya usahawan berkenaan mempunyai kreativiti dalam penciptaan produk dengan menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI).

“Produk (dihasilkan) bukan yang dikilangkan sebaliknya melalui kreativiti mereka mencipta perisian menggunakan sistem AI dan tahap (penghasilan produk) sepenuhnya bergantung pada teknologi,” katanya.


Pengarang :