Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membuat persiapan sebelum berlangsung proses penamaan calon PRN Sabah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Sulabayan, Senallang dan Bugaya ketika tinjauan di Dewan Masyarakat Semporna pada 11 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPR: Petugas diminta profesional, jaga integriti

KOTA KINABALU, 25 SEPT: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh telah meminta semua petugas SPR menjaga integriti dan profesional serta tidak memihak mana-mana pihak yang bertanding semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini.

Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan pilihan raya itu berjalan lancar dan teratur tanpa sebarang gangguan.

“Saya mohon semua petugas yang dilantik SPR mengambil segala langkah yang menjamin keselamatan kesihatan, ketelusan proses mengendalikan pilihan raya dan juga untuk memastikan profesionalisme yang tinggi ketika melaksanakan tugas bagi mengekalkan integriti pilihan raya.

“Saya juga menyeru semua pihak yang terlibat supaya memberi kerjasama agar proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya pada sidang media khas sempena PRN Sabah di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Abdul Ghani berkata sejak pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lepas, semua proses persiapan pilihan raya telah berjalan dengan lancar dan teratur.

“Pada 22 September lalu, Hari Undi Awal juga telah berjalan dengan lancar tanpa insiden yang tidak diingini. Peratusan keluar mengundi 76 peratus iaitu melebihi sasaran SPR iaitu 75 peratus.

“Terima kasih kepada parti politik dan calon yang bertanding kerana mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa. Kerjasama ini diharap dapat diteruskan sehingga selesai proses PRN Sabtu ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :