DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 1 September 2020. Foto Selangor Royal Office
BERITA UTAMASELANGOR

Sultan: Pastikan pembangunan bawa kesejahteraan kepada rakyat

SHAH ALAM, 1 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Kerajaan Negeri memastikan projek pembangunan membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Baginda menitahkan perkara itu kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menyembah maklum dan memberi taklimat berhubung penetapan jajaran projek kereta api Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“DYMM Sultan Selangor menitahkan supaya projek itu tidak memberi impak sosial kepada kampung tradisi, penempatan Orang Asli, hutan simpan, kawasan tadahan, sumber air mentah atau empangan dan kawasan berisiko di Permatang Kuartza.

“Baginda mahu setiap projek pembangunan sentiasa mengambil kira masalah yang disebutkan demi memastikan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan,” kata Selangor Royal Office di Facebook.

Terdahulu, Amirudin menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan, dekat sini. Turut sama menghadap, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Pada Julai lalu, Kerajaan Selangor tidak bersetuju dengan cadangan projek ECRL dibina berdasarkan jajaran asal yang melalui kawasan Gombak dan Serendah kerana ia melalui kawasan tadahan air.


Pengarang :