Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan Pelan Strategik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) 2020-2024.
BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor lancar pelan Mais bangunkan ummah, syiar Islam

SHAH ALAM, 22 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan Pelan Strategik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) 2020-2024.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut mencemar duli ke majlis di Istana Kayangan, dekat sini.

Setiausaha Mais, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata pelan diinspirasikan Sultan Sharafuddin itu dibangunkan bersama beberapa agensi negeri bagi mendaulatkan syiar Islam dalam memperkasakan ummah Selangor.

Melalui pelan lima tahun itu sembilan strategi dan 16 inisiatif disasarkan merangkumi aspek ekonomi, modal insan, undang-undang, pendidikan dan agama.

“Kita mahu melahirkan generasi bertakwa kepada Allah. Usaha ini memberi kesan positif terhadap masalah sosial seperti ajaran sesat, anak luar nikah dan sumbang mahram.

“Diharap pelan ini menjadi panduan Mais. Agensi agama bawah Sultan Selangor dijadikan contoh institusi Islam yang berupaya membangunkan sosioekonomi ummah merangkumi semua aspek,” katanya.


Pengarang :