Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menyampaikan cenderamata kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini. Foto: Facebook FAM
AGENDANASIONALSELANGOR

Sultan Selangor, presiden FAM bincang isu bola sepak negara

SHAH ALAM, 2 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Datuk Hamidin Mohd Amin menyembah maklum perkembangan semasa bola sepak negara, termasuk proses penswastaan dan pemisahan persatuan kepada kelab.

“Turut dibincangkan ialah peta hala tuju F:30 yang dilancarkan 31 Oktober 2018 dan perancangan membina ibu pejabat baharu FAM serta pusat latihan kebangsaan moden di Putrajaya.

“Hamidin turut mengambil kesempatan memaklumkan impak Covid-19 terhadap industri bola sepak negara, selain persiapan skuad kebangsaan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang ditangguhkan tahun depan susulan pandemik berkenaan,” menurut FAM menerusi Facebook.

Pertemuan itu turut membincangkan usaha melaksanakan program pembangunan akar umbi di Selangor yang selaras dengan Piagam SupaRimau FAM.

Hamidin yang mengenali Sultan Sharafuddin sejak 1988 pernah menjadi setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ketika baginda memegang jawatan presiden pada 2000.

Beliau yang pernah dilantik sebagai setiausaha agung FAM pada 2013 juga bergiat aktif dalam Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC).


Pengarang :