Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 8 September 2020 berhubung masalah bekalan air baru-baru ini. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Sultan titah penjara mandatori buat pesalah cemar bekalan air

SHAH ALAM, 8 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu hukuman penjara mandatori dikenakan kepada pesalah yang mencemar sumber air negeri ini.

Baginda melalui utusan surat kepada Dato’ Menteri Besar turut menitahkan individu terbabit dikenakan denda maksimum selain pihak berkuasa diminta meroboh rumah dan kilang haram beroperasi di tebing sungai yang berpotensi mencemarkan sungai.

“Sultan Selangor telah lama menitahkan Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas memantau dan memastikan air sungai tidak tercemar dengan bahan kimia atau sampah sarap yang boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji rawatan air.

“Baginda khuatir rakyat akan memberontak dan menyebabkan ketegangan hingga menjejaskan keharmonian sekiranya masalah air ini berterusan,” kata Selangor Royal Office melalui Facebook hari ini.

Menurut kenyataan, baginda Sultan turut berdukacita melihat kesan ditanggung rakyat susulan insiden pencemaran sungai.

“Baginda tidak berkenaan adanya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan berkaitan alam sekitar dan pencemaran air sungai,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan, dekat sini berhubung masalah bekalan air bersih yang berlaku sekali lagi.

Khamis lalu, seramai 1.2 juta pemegang akaun di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Gangguan itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang-Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.


Pengarang :