Gambar hiasan perbicaraan di mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Suri rumah mengaku tidak bersalah perdagang wanita Indonesia

IPOH, 3 SEPT: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi buruh, sejak tahun lalu.

Yee Lee See, 52, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Sumila Buali, 31, dari 2019 hingga 20 Mei lalu di sebuah rumah di Hala Desa Pantai 2, Pantai Remis, Manjung.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda.

Pendakwaan di hadapan hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh diwakili peguam Ricky Hong. Dua wakil Konsulat Kedutaan Indonesia di Malaysia turut hadir pada prosiding hari ini.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Sept ini untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA


Pengarang :