AGENDANASIONAL

Syarikat salah guna dana Program Subsidi Upah disenarai hitam

JOHOR BAHRU, 25 SEPT: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menyenaraihitamkan syarikat dan majikan yang didapati menyalahgunakan pemberian dana Program Subsidi Upah.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata ini berikutan terdapat aduan yang diterima pihaknya berhubung kegagalan majikan membayar upah kepada pekerja.

Beliau berkata selain menyenaraihitamkan, tindakan mahkamah juga akan dikenakan terhadap majikan terbabit jika turut didapati menggunakan dokumen palsu untuk menyertai program berkenaan.

“Kami sedang mengumpul maklumat berhubung syarikat yang terlibat dalam penyalahgunaan dana tersebut yang sehingga kini, kami telah menerima aduan membabitkan 89 majikan yang menerima subsidi upah tetapi upah tidak diterima oleh 846 pekerja di seluruh Malaysia.

“Selain itu, sebanyak 1,663 syarikat turut dikesan memberikan dokumen palsu melibatkan 14,800 pekerja dengan tuntutan sebanyak RM31 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Penjana Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) di sini, hari ini.

Saravanan memberi peringatan kepada mana-mana syarikat agar tidak mengambil kesempatan atas usaha yang dijalankan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dalam tempoh sukar ini.

Program Subsidi Upah diperkenalkan sejak 1 April sebagai mengurangkan beban majikan dan pekerjaan dalam menghadapi fasa pemulihan ekonomi selepas terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran daripada penularan jangkitan Covid-19.

Inisiatif dibuka kepada syarikat yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

– BERNAMA


Pengarang :