AGENDANASIONAL

Tarif elektrik dijangka lebih rendah tahun depan – TNB

BANGI, 3 SEPT: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangkakan kemungkinan berlakunya penurunan kecil kadar tarif elektrik bagi tahun depan berikutan penyusutan kos pengeluaran arang batu dan dan gas semasa.

Bagaimanapun, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan keputusan itu akan bergantung kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) yang akan membuat penilaian lebih terperinci sebelum mencadangkan perkara itu kepada Kabinet.

ST dijangka mengumumkan tarif baharu pada penghujung tahun ini bagi tempoh Januari-Jun 2021 selepas mendapat persetujuan Kabinet.

Beliau berkata, harga arang batu pada masa ini adalah sekitar RM43 satu tan berbanding RM65 satu tan tahun lepas, sekali gus memberi sedikit penjimatan.

Namun, tegas beliau, penilaian kadar tarif itu akan turut berdasarkan pergerakan dan anggaran harga arang batu dan gas bagi tempoh sehingga penghujung tahun ini.

“TNB adalah di bawah pengawasan ST dan ini berdasarkan skim kawal selia berasaskan insentif (IBRF). Segala perbezaan di antara harga arang batu dan gas akan diletakkan di bawah Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Oleh itu terpulang kepada Kementerian (Tenaga dan Sumber Asli) serta ST (bagi memutuskannya).

“Jika kita lihat, apa yang dibuat oleh kerajaan dalam Mac sehingga hujung tahun ini adalah menggunakan sebahagian wang daripada KWIE bagi tujuan diskaun (untuk pengguna ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penganugerahan biasiswa Yayasan Tenaga Nasional (YTN) 2020 di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sementara itu, Mahdzir berkata YTN telah menerima lebih 7,700 permohonan biasiswa bagi pengajian luar negara serta di UNITEN (Universiti Tenaga Nasional) bagi tahun ini.

Menurutnya, hanya 470 orang yang merupakan pelajar lepasan SPM 2019, telah disenarai pendek dan dipanggil menghadiri temu duga.

“TNB dan YTN berhasrat dapat membentuk pelajar-pelajar ini yang tidak hanya pelajar cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut memperkasakan bakat kepimpinan tinggi dalam diri mereka.

“Ini bertepatan sekali dengan kriteria pemilihan penerima biasiswa YTN iaitu bukan sekadar kecemerlangan akademik, tetapi faktor kemampuan memimpin, penglibatan aktif dalam sukan serta mempamerkan sikap positif,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :