EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail menunjukan produk anyaman ketika lawatan bersama delegasi usahawan Selangor, UPEN dan PKNS di Kraftangan Mama, Marang, Terengganu pada 21 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Terengganu jadi rujukan Selangor martabat usahawan kraftangan

KUALA TERENGGANU, 22 SEPT: Selangor menjadikan Terengganu sebagai rujukan untuk memartabatkan pengusaha seni dan kraftangan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata beliau kagum dengan usaha negeri berkenaan yang berjaya memartabatkan usahawan kraftangan serta mampu mengumpulkan produk-produk sehingga dikenali ramai.

“Terengganu banyak keistimewaannya dalam bidang kraftangan, kemampanan mereka dalam bidang itu boleh dicontohi Selangor yang kini sedang berusaha mencari dan mengumpulkan penggiat kraftangan di bawah satu bumbung.

Pemilik Kraftangan Mama, Asmah Ismail menunjukkan tikar anyaman yang diperbuat dari daun pandan kepada peserta ketika lawatan EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail bersama delegasi usahawan Selangor, UPEN dan PKNS di Kraftangan Mama, Marang, Terengganu pada 21 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Oleh itu saya menggesa supaya usahawan-usahawan berkaitan berjumpa dengan kami serta boleh berbincang mengenai hala tuju produk mereka di negeri ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika sesi lawatan usahawan Selangor bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ke Kuala Terengganu.

Mengulas lanjut, Rodziah yang juga EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi berkata Selangor turut mahu produk kraftangan diberi tumpuan menerusi projek Sarang Ekonomi Desa.

“Kuasa beli rakyat Malaysia sangat tinggi, jadi amatlah rugi jika kita tidak ketengahkan produk-produk tempatan ini, justeru sebelum akhir tahun ini, Kerajaan Negeri akan bimbing usahawan kraftangan menerusi projek Sarang Ekonomi Desa,” katanya.


Pengarang :