AGENDA NASIONAL

Terkawal, tiada banjir serius akibat air pasang besar

SHAH ALAM, 19 SEPT: Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor hari ini dilaporkan terkawal dan tiada sebarang limpahan sehingga mengakibatkan kejadian banjir serius.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) Ahmad Fairuz Mohd Yusof ketika dihubungi berkata hanya halaman sebuah rumah di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor dikesan dinaiki air ekoran hakisan pada benteng Pantai Remis awal pagi tadi.

Beliau berkata pihaknya turut mengesan limpahan minimum di kawasan Pantai Morib ekoran kejadian benteng pemecah ombak runtuh di kawasan itu semalam, selain dua hakisan ban di Pantai Kelanang dan Kampung Sawah, Banting, namun ia hanya dalam skala kecil.

UPBN sebelum ini menjangka lima daerah di Selangor akan dilanda fenomena air laut pasang besar bermula hari ini sehingga November dengan ketinggian paras air laut diramal mencecah sehingga paras 5.8 meter.

-BERNAMA

 


Pengarang :