Selangorkini
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Perdana Putra pada 24 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tindakan mahkamah, batal lesen pemilik pub ingkar PKPP

PUTRAJAYA, 1 SEPT: Pemilik kelab malam dan pub yang beroperasi tanpa kebenaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bakal berdepan tindakan tegas termasuk dihadapkan ke mahkamah dan pembatalan lesen operasi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata subsektor itu masih dikategorikan sebagai aktiviti yang dilarang sepanjang PKPP dan tindakan boleh diambil menurut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Susulan tangkapan individu ingkar PKPP bagi kesalahan aktiviti di kelab malam dan pub meningkat, Polis Diraja Malaysia akan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam semua serbuan dan pemeriksaan ke atas premis berkenaan, katanya dalam sidang media perkembangan PKPP di sini, hari ini.

“Sekiranya ada tangkapan dalam serbuan di kelab malam dan pub tanpa penglibatan PBT, senarai premis terbabit akan diserahkan kepada PBT,” katanya lagi.

Beliau berkata tindakan itu bagi membolehkan pembatalan lesen operasi premis terbabit.

Langkah ini dilihat perlu kerana masih ada pemilik pub dan kelab malam yang berdegil dan beroperasi tanpa kebenaran sekalipun tahu aktiviti perniagaan tersebut masih dilarang, katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan daripada 778 individu yang ditahan kerana ingkar PKPP semalam, 600 adalah bagi kesalahan aktiviti di kelab malam dan pub.

-BERNAMA


Pengarang :